Syukuri nikmat

Syukuri nikmat

Image

Selesai membeli di sebuah gerai makanan untuk sarapan, aku terpandang seorang pakcik buta dengan tongkatnya berjalan dalam keadaan teragak-agak. Dapat diperhatikan yang ia ingin melintas jalan.

Memang jalan pada waktu pagi amat sibuk di kawasan tersebut. Terdetik di hati untuk menolongnya melintasi jalan tersebut. Terus aku capai tangannya dan bertanya, “hendak melintas ke?”

“Ya…,” jawab beliau.

Lantas aku memaling kiri dan kanan, bagi memastikan keadaan trafik selamat dilintas. Lalu kami pun melintasi jalan tersebut bersama-sama. Setelah sampai, lelaki tersebut dengan penuh adab mengucapkan terima kasih dan terus berlalu dengan tongkatnya.

Tidak dapat menahan air mata, hati menjadi sebak… Ya Allah, aku diberikan 2 biji mata yang sempurna. Namun, sejujurnya mata ini pernah tercalit dosa-dosa. Ya Allah, apakah pernah aku bersyukur dengan anugerah mata ini?

فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?

Patutlah Allah mengulang-ulang persoalan ini : Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan? – dalam surah ar Rahman. Ayat ini diulang-ulang sebanyak 31 kali…

Wahai aku, berapa banyak nikmat Allah yang telah engkau syukuri?

Sekadar nota:

Dalam apa jua pengalaman kita, aktiviti kita, cuba-cubalah sedaya mampu untuk mengaitkan dengan Allah. Kaitkan dengan kelemahan dan apa yang perlu kita koreksi diri kita ini. Memang kita ini lemah. Lemah…

Sesungguhnya setiap yang berlaku dalam kehidupan kita ini merupakan hikmah, cumanya mata kita ini sahaja yang mampu atau tidak menggali hikmahnya itu.

Dan, carilah saat dan ketika yang mampu membuatkan air mata ini mengalir disebabkan insaf. Dan ketika itu, banyakkan istighfar.Biar air mata itu menjadi saksi bahawa hati kita benar-benar menyesal dan memohon ampun. Benar, hati yang keras tidak mampu mengeluarkan air mata. Sama-sama kita usahakan.

Nabi S.A.W. bersabda yang maksudnya : “Tiap mata pasti akan menangis pada hari kiamat, kecuali mata yang dipejamkan dari segala yang haram dan mata yang berjaga malam dalam jihad fisabilillah dan mata yang mentitiskan air mata walaupun sebesar kepala lalat kerana takutkan Allah.” (Hadis Riwayat Abu Naim) – link

Leave a Reply

%d bloggers like this: