Priority – Keutamaan

Priority – Keutamaan

Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat); – al Mulk ayat 2

Dalam surah al Mulk ini, ayat ke 2, Allah menggunakan perkataan “ahsanu” atau kata dasarnya “hasan” yang bermakna baik. Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya… Kenapa Allah tidak menggunakan “aksaru” yang kata dasarnya “kasara” bermakna banyak? Kenapa tidak ditekankan “amal yang banyak”…

Di sini, hikmahnya adalah bagaimana keutamaan kualiti itu lebih berbanding kuantiti amalan yang bakal dipersembahkan kepada Allah. Allah menilai sejauh mana kualiti ibadah yang kita lakukan. Semoga Allah menerima amal ibadah kita semua, insya Allah.

KEUTAMAAN

Sebuah kereta mewah, yang diidam-idamkan oleh penggemar kereta, mempunyai spesifikasi yang terkini dan hebat, daripada sudut enjin dan rekabentuk, memang nampak hebat. Namun, sehebat manapun kereta itu, namun jika tiada anak kunci yang berfungsi untuk menghidupkan enjin dan activate all the functions, kereta mewah tadi hanya gah tanpa fungsi. Ia tidak dapat dibawa untuk ke suatu destinasi, walaupun beberapa meter.

Jadi di sini, yang paling utama – walaupun kelihatanya biasa – adalah anak kunci yang bakal menghidupkan fungsi kereta tadi. Kunci ini juga yang bakal berkerjasama dengan kereta itu untuk perjalanan yang lebih jauh.

Begitu juga perumpamaan ibadah sunat dan ibadah wajib. Ibadah wajib, contohnya solat 5 waktu sehari semalam umpama anak kunci, yang kelihatan remeh dan biasa – dek kerana ia dilakukan sehari-hari. Berbanding dengan solat sunat Dhuha contohnya, ia merupakan suatu anjuran dalam Islam, dan merupakan amalan baik setiap hari.

يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلاَمَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ

وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْيٌ عَنْ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ

وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنْ الضُّحَى.

Bagi tiap-tiap ruas dari anggota tubuh salah seorang di antara kalian harus dikeluarkan sedekahnya setiap pagi hari. Setiap tasbih (Subhaanallah) adalah sedekah, setiap tahmid (Alhamdulillah) adalah sedekah, setiap tahlil (Laa Ilaaha Illallah) adalah sedekah, setiap takbir (Allahu Akbar) adalah sedekah, menyuruh untuk berbuat baik juga sedekah, dan mencegah kemungkaran juga sedekah. Dan semua itu boleh diganti dengan dua rakaat solat Dhuha. -Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, KitabSholaatul Musaafiriin wa Qashruha, no: 720. – Sumber

Namun begitu, ramai yang terkeliru dalam hal keutamaan.

Memang terdapat pelbagai ganjaran-ganjaran yang dijanjikan berkenaan kelebihan-kelebihan ibadah-ibadah sunnat. Sebagai contoh, solat sunat dhuha dijanjikan dengan rahsia pintu rezeki, dan ramai yang mengerjakannya. Cuma, ia perlulah diperbaiki lagi, dengan kita mengutamakan solat-solat Fardhu berjemaah. Ganjarannya 27 kali ganda!

Namun, ramai yang memandang enteng perkara ini, kerana terbiasa dengar di telinga. Kita sering tertipu, mengutamakan solat-solat sunat dengan mengabaikan solat-solat fardhu, mengutamakan ibadah-ibadah sunat dengan mengabaikan ibadah-ibadah fardhu.

Seiring

Memang, kita perbaikkan amal ibadah kita seiring, sambil-sambil perbaiki ibadah fardhu, kita tambahi ibadah-ibadah sunat. Jangan nanti kita tertipu, umpanya solat Isya dirumah bersendirian, dan bergegas ke Masjid untuk solat sunat tarawih berjamaah. Sedangkan solat fardhu berjamaah di Masjid itu jauh lebih utama.

Ramai yang sibuk dengan sadaqah-sadaqah di kawasan-kawasan dakwah, dan dalam masa yang sama, jiran tetangga dan anak beranak kelaparan. Ini salah dan tidak betul daripada segi keutamaannya.

وَٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ وَلَا تُشۡرِكُواْ بِهِۦ شَيۡـًٔ۬ا‌ۖ وَبِٱلۡوَٲلِدَيۡنِ إِحۡسَـٰنً۬ا وَبِذِى ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَـٰمَىٰ وَٱلۡمَسَـٰكِينِ وَٱلۡجَارِ ذِى ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡجَارِ ٱلۡجُنُبِ وَٱلصَّاحِبِ بِٱلۡجَنۢبِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتۡ أَيۡمَـٰنُكُمۡ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن ڪَانَ مُخۡتَالاً۬ فَخُورًا

Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri. an Nisa ayat 36

Kesimpulannya, sama-sama kita perbaiki diri kita dalam mengutamakan yang utama, dan upgrade (tambah baik) mutu, kualiti dan kuantiti amal ibadah kita, insya Allah.

Wallahua’lam

Leave a Reply

%d bloggers like this: