Penyakit Was-Was

Penyakit Was-Was

Selamat Tinggal Was Was

Memang sukar sekali, jika diperhatikan mereka yang mengidap penyakit was-was ini. Paling mudah kita lihat ketika takbiratulihram. Berkali-kali mereka yang berpenyakit ini melafazkan niat, dan berulang-ulang takbiratulihram. Kata hati mereka, niat belum hadir masa takbir, nantikan batal pula solat sebab tak hadir niat.

Kebanyakan penyakit was-was ini menyerang kepada mereka yang mula ingin membuat yang terbaik dalam ibadahnya, dan mereka seboleh-bolehnya ingin memastikan ibadahnya (solat, wudhu’ contohnya) benar-benar sah daripada sudut feqah. Tahniah diucapkan, sebab kita memang perlu sentiasa melakukan yang terbaik. Cuma, berhati-hati dengan penyakit was-was bagi mengelakkan kita ditipu oleh syaitan, walaupun ketika beribadah.

Sasaran pada kebiasaan penyakit was-was.

Selalunya, penyakit was-was ini menyerang pada beberapa tempat utama. Kita fokus dalam bab solat dan wudhu sahaja dahulu. Antara tempat yang selalu ‘diserang’ ialah:

  1. Takbiratulihram dan niat – jika diperhatikan, kita akan melihat ‘pesakit’ akan menggeletar atau berulang-ulang dalam takbir pertama. Hingga mengganggu makmum yang lain.
  2. Bacaan Fatihah – selalunya ‘pesakit’ akan membacanya dengan kuat terutama pada huruf ‘ha pedas’ dan ‘waladhaalin’
  3. Tahiyyat – selalunya ‘pesakit’ akan mengulang-ulang ayat yang melibatkan ‘ha pedas’ dan juga bacaan syahadah

wudhu:

  1. Ketika lafaz wudhu
  2. Ketika membasuh muka
  3. Pesakit akan membasuh dengan begitu teliti hingga terlibat dengan pembaziran air yang amat sangat.

Terapi Penyakit Was-was

Masalah was-was ini berkait dengan hati. Ia akan memberi kesan yang dalam terhadap hati, terutama bagi pesakit yang sudah lama terdedah dengan penyakit ini. Makin lama ia sakit, maka makin susah untuk diubati.

Tiada sesiapa yang mampu memberi pertolongan secara mutlak, melainkan pesakit itu sendiri yang perlu merawatnya dengan bersedia menjalani terapi sendiri.

  1. Berdasarkan pengalaman, apa yang perlu adalah doa kepada Allah kerana Allah jua yang memiliki hati manusia, dan Dia juga yang mampu membolak-balik hati-hati manusia.
  2. Amalkan surah an Nas
  3. Tidak dapat tidak, pesakit perlu mendalami ilmu feqah untuk mengetahui dengan lebih jelas tentang bagaimana solat itu terbatal, apa itu niat solat, bagaimana bacaan dalam solat dan bagaimanakah situasi yang boleh dikatakan terbatalnya solat seseorang itu. Ini kerana, kebanyakan pesakit lebih suka membuat andaian sendiri, dan dengan itu suatu ibadah itu menjadi lebih sukar daripada yang sepatutnya.
  4. Pada lafaz niat, kita perlu tahu bahawa lafaz niat ini bukan suatu yang rukun, dan ia hanya sunat bagi membantu hadir niat semasa takbiratulihram. Jadi tidak menjadi masalah untuk melafazkan niat dalam bahasa melayu.
  5. Pada niat pula, kita perlu tahu, yang perlu hadir dalam niat ada tiga sahaja, Qasad, Ta’rudh, Ta’yin.
      1. Qasad – Kita buat dengan sengaja/sedar (bukan tengah tidur ke contohnya)
      2. Ta’rudh – Apa yang kita buat – Solat
      3. Ta’yin – Kategorinya – Fardhu Subuh
      4. Maka telah selesai jika hadir niat itu seperti ini “Aku Solat Fardhu Subuh”, cuma jika kita makmum niat seperti ini “Aku Solat Fardhu Subuh Makmum.
      5. Terapinya – paksa diri supaya maksimum takbir hanya 3 kali sahaja, dan jika hadir juga was-was, maka abaikan dan teruskan solat. Memang pada kali pertama, ia akan hadir gelisah, namun Insya Allah ia akan ‘sembuh’ nanti. Ingatlah Allah maha Mengetahui apa yang ada dalam hati kita semua.
  6. Pada bacaan Fatihah – jumpa Ustaz/Ustazah untuk memperbetulkan bacaan Fatihah.
  7. Pada bacaan tahiyyat – betulkan dengan ustaz/ustazah.

Rasanya sekadar itu dahulu perkongsian daripada yang pernah mengalami penyakit ini. Semoga bermanfaat.

Wallahua’lam.

Ubati segera sebelum lebih parah


Saya petik daripada FB Dr MAZA Berkenaan WAS-WAS. Semoga bermanfaat. – Updated by DEC 2014 :

GANGGUAN WAS-WAS

Soalan:

Saya selalu was-was. Kalau saya ambil wuduk, saya selalu rasa tidak puas. Saya selalu syak rasa macam wuduk saya batal. Saya buat seperti diajar kepada saya agar saya mengurut kemaluan selepas membuang air kecil supaya pastikan habis air kencing. Tapi sejak itu pula was-was datang. Saya selalu rasa macam ‘terkencing’ atau ‘keluar angin’ masa solat. Sehingga saya selalu risau apabila hendak beribadah. Saya selalu berulang wuduk dan cuba memastikan tiada air kencing di pakaian saya.Apakah penyelesaiannya.

Faisal, Klang.

 

JAWAPAN DR MAZA:

Semoga Allah membaiki urusan saudara. Berikut beberapa perkara yang perlu saudara ambil perhatian;

  1. Perasaan was-was yang mengganggu ibadah adalah gangguan fikiran dan syaitan. Hindarkan jiwa dari melayannya. Ini kerana melayannya bererti mengikut kehendak syaitan yang cuba menghilang fokus seseorang kepada ibadah dan cuba menjadikan seseorang itu akhirnya bosan, bimbang dan jemu dengan ibadah. Para ulama seperti Ibn Jauzi (meninggal 597H), Ibn al-Qayyim (meninggal 751H) dan ramai lagi sejak dahulu menulis dalam berbagai karya untuk membenteras penyakit yang buruk ini.

 

  1. Antara sebab utama berlakunya was-was; tidak memahami atau berpuas hati dengan praktikal Nabi s.a.w yang mudah dan senang dalam ibadah, terpengaruh dengan ajaran fekah yang suka menyusahkan orang ramai dengan berbagai petua yang membebankan, dan juga terlalu melayan gangguan perasaan. Kata al-Imam Ibn al-Qaiyyim: “Tanpa syak lagi sesungguhnya syaitan adalah punca kepada was-was. Mereka yang was-was mentaati syaitan, menyahut seruannya dan mengikuti perintahnya. Mereka berpaling daripada sunnah dan jalan baginda sehinggalah seseorang mereka menganggap apabila dia berwuduk sama seperti wuduk Rasulullah s.a.w, atau mandi seperti baginda masih tidak bersih dan tidak hilang hadasnya. Jikalau tidak disebabkan dia diberikan kemaafan kerana kejahilannya, maka tindakan itu dianggap menentang Rasulullah s.a.w” (Ighathah al-Lihfan Min Masaid al-Syaitan, 134, Beirut: Dar Ibn Zaidun)

 

  1. Antara ajaran yang menyebabkan was-was ialah pendapat yang mewajib mengurut kemaluan selepas kencing. Tiada nas yang sahih dalam perkara tersebut. Hanya yang diperintah agar kita membersihkan diri dari air kencing, bukan disyaratkan mesti mengurut kemaluan sehingga dipastikan segala yang ada dikeluarkan. Anggapan bahawa jika tidak diurut sehingga habis tidak sah solat adalah tidak benar. Kata al-Syeikh Abd al-‘Aziz Ibn Baz r.h: “Adapun mengurut zakar agar keluar sesuatu adalah salah dan tidak wajar. Ia antara sebab berlakunya was-was dan tidak lawas. Hendaklah dihindari perkara ini. Sebaik sahaja terhenti kencing, maka berintinjak (cuci) dengan air…” (Ibn Baz, al-Fatawa al-Muta’allaqah bi al-Tibb wa Ahkam al-Marda, 35, Riyadh: Idarah al-Buhuth).

 

  1. Bagi mengelakkan was-was yang merasai air kencing terkena pakaian atau masih terkeluar dari kemaluan, dicadangkan agar selepas membuang air kecil, diambil air dan direnjis pada pakaian yang berhampiran. Tujuannya, agar jika ternampak apa-apa kesan air, maka anggaplah itu air renjisan tadi. Al-Imam Ahmad telah ditanya oleh seorang lelaki yang selepas berwuduk masih merasa berhadas. Kata al-Imam Ahmad: “Ambil air dalam tapak tangan dan renjis pada kemaluanmu dan jangan peduli lagi, kerana itu menghilangkan syak insyaAllah”. (Ibn Qudamah, al-Syarh al-Kabir 1/94) Cadangan al-Imam Ahmad ini berteraskan hadis Al-Hakam bin Sufyan:

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ ثُمَّ نَضَحَ فَرْجَهُ

“Bahawa Nabi s.a.w kencing, kemudian berwuduk dan merenjiskan air pada kemaluan baginda” (Riwayat Ahmad, Nasai, Abu Daud, Ibn Majah dll. Sekurang-kurang hasan kerana syawahid). Nabi s.a.w melakukan perbuatan tersebut sebagai panduan kepada kita untuk mengelakkan was-was.

  1. Adapun rasa ‘keluar angin’ (kentut) tetapi tidak pasti atau tidak yakin bahawa betul-betul keluar atau hanya perasaan sahaja, maka itu tidak membatal wuduk dan solat. Nabi s.a.w mengajar kita agar perasaan was-was seperti ini tidak diambil kira. Dalam hadis al-Bukhari, “Seorang lelaki mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia merasa sesuatu semasa dalam solatnya, apakah dia patut berhenti?. Jawab Nabi s.a.w:

لاَ يَنْفَتِلْ – أَوْ لاَ يَنْصَرِفْ – حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا

“Jangan berhenti sehinggalah mendengar bunyi (kentut) atau mendapati bau (kentut)”.

Maksudnya, Nabi s.a.w mengajar agar seseorang yang merasa terbatal wuduknya secara was-was atau tidak pasti tidak berhenti dari solat sehingga beliau benar-benar yakin terbatal. Solatnya tetap sah, mainan perasaan tidak diambil kira. Termasuklah dalam hal ini mereka yang terasa macam terkeluar air kencing, tetapi tidak pasti samada hanya perasaan atau benar-benar berlaku, maka solat masih dianggap sah. Melainkan dia yakin tanpa ragu bahawa angin atau air kecil benar-benar telah terkeluar.

 

  1. Was-was adalah berpunca dari kurang faham sifat Islam ini. Sebahagiannya datang ajaran sesetengah guru yang suka memayah-mayahkan cara ibadah. Sedang Nabi s.a.w memberitahu kita:

إنَّ الدِّينَ يُسْرٌ وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلاَّ غَلَبَهُ فَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا وَأَبْشِرُوا

“Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka” (Riwayat al-Bukhari).

Oleh itu, elakkan mempelajari fekah dari guru yang suka berfalsafah sendiri dan berteori tanpa berlandaskan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah.

 

  1. Orang yang selalu merasa was-was dalam ibadah sehingga melakukannya berulang-ulang kali, atau melayan perasaannya yang sentiasa merasa bebanan was-was hendaklah bertanyakan dirinya sendiri; untuk apa ia lakukan itu semua? Jika ia untuk Allah s.w.t, maka hendaklah dia tahu bahawa Allah tidak meredhai tindakannya melayan gangguan perasaan atau syaitan yang seperti itu. Layanan kepada perasaan was-was itu hanya mentaati syaitan atau ganggu emosi yang salah bukan mentaati Allah. Ikutilah arahan Allah s.w.t dan RasulNya tanpa melayan was-was. Was-was akan memalingkan seseorang dari mengikuti arahan Allah dan rasulNya secara betul.

 

  1. Al-Quran menceritakan bahawa senjata was-was ini jugalah yang digunakan oleh Iblis sehingga membawa Adam melanggar arahan Allah. Firman Allah:

فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ الشَّيْطَانُ قَالَ يَاآدَمُ هَلْ أَدُلُّكَ عَلَى شَجَرَةِ الْخُلْدِ وَمُلْكٍ لَا يَبْلَى (120) فَأَكَلَا مِنْهَا فَبَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِنْ وَرَقِ الْجَنَّةِ وَعَصَى آدَمُ رَبَّهُ فَغَوَى

(maksudnya) “Setelah itu maka syaitan telah mewas-waskan kepada Adam dengan berkata: “Wahai Adam, Mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap? Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu dia tersalah jalan. (Surah Taha: 120-121)

sumber gambar

Leave a Reply

%d bloggers like this: