Muafik dan Masbuk dalam solat berjemaah

Muafik dan Masbuk dalam solat berjemaah

PERMASALAHAN MUWAFIK DAN MASBUK
RUJUKAN DARI KITAB “MASALAH MUWAFIK DAN MASBUK” OLEH HASAN BIN AHMAD

HUKUM ORANG MUWAFIK

Maknanya ialah makmun yang sempat berjemaah dengan imam semasa berdiri (qiam) imamnya, dan kesempatan berjemaah dengan imam itu hendaklah mempunyai sekadar masa yang membolehkan beliau membaca surah Al-Fatihah hingga selesai dengan bacaan orang ramai, tidak terlalu cepat dan tidak terlalu lambat. Dimaafkan kepadanya tertinggal jarak tiga rukun yang panjang daripada imamnya. Contoh rukun yang panjang ialah rukuk dan sujud. Iktidal dan duduk di antara dua sujud tidak dikira sebagai rukun yang panjang.

Contoh-contoh dan gambarannya:

  1. Seorang makmum yang muwafik sedang sembahyang berjemaah, sebelum imam qiam berdiri tegak dari sujud yang ke2 dia sudah rukuk. Maka makmum berkenaan mendapat rakaat itu kerana ketinggalannya dari imam belum masuk kepada rukun ke4.
  2. Seorang makmum yang muwafik sedang solat berjemaah sebelum imam duduk tasyahud akhir makmum berkenaan sudah rukuk, hukumnya dia juga mendapat rakaat itu.
  3. Jika seorang muwafik itu solat berjemaah, apabila imamnya sudah berada dalam qiam ke2 untuk membaca al-Fatihah tetapi makum berkenaan masih lagi berada di qiam pertama belum habis lagi bacaan al-Fatihahnya, atau imam sudah berada ditasyhud akhir sedangkan makmum masih lagi berada di qiam pertama dan al-Fatihahnya belum selesai, hukum makmum demikian ialah batal solatnya, kecuali ia membuat 2 pilihan segera semasa imam hendak berpindah kepada rukun yang ke4 iaitu
  • Pilihan pertama, makmum berkenaan dikehendaki meninggalkan bacaan al-Fatihahnya dan terus mengikut dan melakukan apa yang sedang dilakukan oleh imam, dan ia tambah satu rakaat lagi selepas salam imam.
  • Pilihan kedua, makmum berkenaan dikehendaki niat mufarakah (berpisah) dari mengikut imam, kemudian ia hendaklah meneruskan bacaan al-Fatihah dan rukun-rukun yang lain dengan seorang diri sehingga selesai solatnya.

Jika makmum berkenaan gagal membuat pilihan segera sebelum imam sampai kepada rukun ke4 iaitu qiam ke2 atau tasyahud akhir maka batal solat makmum itu dengan sampainya imam kepada rukun ke4 sedangkan ia masih berada di rukun yang pertama, tetapi tidak mengapa jika bersama-sama selisih, iaitu makmum sedang berpindah kepada rukuk manakala imam sedang berpindah kepada qiam ke2 atau berpindah kepada tayahud akhir.

MASALAH-MASALAH MAKMUM YANG MUWAFIK

  1. Orang muwafik yang dimaafkan oleh syarak kepada yang tertinggal 3 rukun jarak daripada imam itu ialah orang yang lambat bacaannya kerana tabiat kejadiannya begitu dan bukan was-was. Tetapi orang yang lambat bacaannya kerana was-was tidak dimaafkan ketinggalan 3 rukun melainkan dimaafkan sekadar imam belum turun untuk sujud dia selesai bacaan al-Fatihahnya, yakni orang muwafik yang was-was boleh menghabiskan bacaan al-Fatihah sebelum imam turun sujud jika ia belum habis lagi baca al-Fatihah imamnya turun untuk sujud, maka batal solatnya kecuali makmum berkenaan niat mufarakah [mufarakah bermaksud niat berpisah dengan imam, kemudiannya meneruskannya dengan solat bersendirian] sebelum imam turun sujud dan dia pada waktu itu dikehendaki meneruskan bacaan al-Fatihahnya dan mengerjakan rukun-rukun yang lain hingga selesai solat. Kepada orang muwafik yang was-was tidak boleh meninggalkan bacaan al-Fatihah dan terus melakukan apa yang dibuat oleh imam bila dia tidak sempat menghabiskan bacaan al-Fatihahnya, kerana ia dikira seperti hukum orang yang sengaja meninggalkannya.
  2. Orang muwafik yang syak sebelum dia rukuk dan sesudah imamnya rukuk adakah ia sudah membaca al-Fatihah atau belum, maka wajib keatasnya membaca al-Fatihah dan di maafkan ketinggalan 3 rukun dari imamnya.
  3. Seorang muwafik yang lupa membaca al-Fatihah sehingga imamnya rukuk tetapi makmum berkenaan belum rukuk, kemudian ia teringat bahawa ia belum lagi membaca al-Fatihah, makmun itu di wajibkan membaca al-Fatihah dan dimaafkan ketinggalan 3 rukun seperti di atas.
  4. Seorang muwafik yang syak adakah ia telah membaca al-Fatihah atau belum lagi, atau ia teringat ia teringat bahawa ia belum lagi membaca al-Fatihah sesudah imam dan ia sendiri telah melakukan rukuk, hukum orang itu tidak boleh lagi ia kembali membaca al-Fatihah tetapi wajib keatasnya terus mengikut imam dan apabila salam imamnya dia dikehendaki menambah satu rakaat lagi.
  5. Orang muwafik yang syak sesudah ia rukuk sedangkan imam belum lagi rukuk, iaitu syak adakah ia sudah baca al-Fatihah atau belum. Hukumnya ia wajib kembali qiam dan baca al-Fatihah, dan ia dimaafkan ketinggalan 3 rukun yang panjang daripada imamnya.
  6. Orang muwafik yang tertinggal baca al-Fatihah kerana baca doa iftitah, tiba-tiba imamnya rukuk sebelum ia sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah, samada dia telah membaca sebahagian daripada ayat-ayat al-Fatihah ataupun belum sempat membacanya walau sedikitpun, hukumnya wajib ia baca al-Fatihah dan dimaafkan ketinggalan 3 rukun daripada imamnya.
  7. Orang muwafik yang sedang menunggu saktah imamnya yakni ia memperhatikan bacaan al-Fatihah imamnya untuk mendapatkan sunat dan beradang baca al-Fatihah apabila imam baca surah nanti, tetapi imam apabila ia selesai membaca al-Fatihah terus rukuk tanpa membaca mana-mana surah, dengan itu makmum tidak sempat baca al-Fatihah, hukumnya dimaafkan ketinggalan 3 rukun daripada imam dan wajib keatasnya baca al-Fatihah.
  8. Orang muwafik yang sedang menunggu saktah imamnya yakni ia memperhatikan bacaan al-Fatihah imamnya untuk mendapatkan sunat dan beradang baca al-Fatihah apabila imam baca surah nanti, tetapi imam apabila selesai baca al-Fatihah dibacanya surah yang pendek menyebabkan makmum tidak sempat menyempurnakan bacaan al-Fatihahnya sedangkan imam sudah rukuk atau sujud, hukumnya dimaafkann ketinggalan 3 rukun daripada imamnya.

Masalah khilaf

Masalah khilaf antara ulama muta’akhirin dalam menetapkan hukum terhadap orang muwafik adalah seperti berikut:

  1. Seorang muwafik solat jemaah bersama imamnya tiba-tiba ia tertidur di tasyahud awal dengan tanpa papan punggungnya di tempat duduk,dia terus tidur sehingga semasa imamnya turun rukuk atau berada di akhir qiam baru ia terjaga dari tidurnya, hukumnya khilaf antara Syeikh Ramli dengan Syeikh Ibnu Hajar. Pendapat Syeikh Ramli bahawa makmum itu masuk dalam bab orang muwafik juga dan hukumnya dimaafkan ketinggalan 3 rukun daripada imamnya tetapi Syeikh Ibnu Hajar berpendapat bahawa makmum itu sudah termasuk dalam bab orang masbuk, hukumnya tidak boleh ketinggalan 3 rukun daripada imam, bahkan ia membaca al-Fatihah sekadar yang dapat dan wajib ia terus mengikut imamnya rukuk, jika ia rukuk sempat thamaninah sebelum imamnya bangkit daripada rukuk maka ia mendapat rakaat itu.
  2. Seorang muwafik solat berjemaah bersama imamnya, bila imamnya bertakbir untuk qiam disangkanya takbir itu untuk duduk tasyahud awal dia pun duduk tasyahud awal, kemudian ia mendengar pula imam bertakbir untuk rukuk disangkanya takbir itu untuk berdiri daripada tasyahud awal, selepas itu barulah makmum itu sedar bahawa sebenarnya takbir imam itu untuk rukuk. Dalam masalah ini kata Syeikh Ramli bahawa makmum itu termasuk dalam bab muwafik dan hukumnya dimaafkan ketinggalan 3 rukun daripada imam. Manakala Syeikh Ibnu Hajar berpendapat bahawa makmum itu sudah termasuk dalam bab orang masbuk, dan hukumnya tidak boleh lagi ketinggalan 3 rukun daripada imamnya bahkan ia membaca al-Fatihah sekadar yang dapat dan wajib ia mengikut imamnya rukuk, jika makmum itu sempat rukuk dengan imamnya dengan thamaninah sebelum imamnya bangkit daripada rukuk maka ia mendapat rakaat itu.
  3. Seorang muwafik solat jemaah bersama imamnya bersama-sama membaca tasyahud awal, apabila imamnya qiam daripada tasyahud awal, makmum itu masih lagi belum selesai membaca tasyahudnya, manakala makmum itu berdiri tegak dan didapati imamnya sudah rukuk atau hampir rukuk. Menurut Syeikh Ramli, ia juga termasuk dalam bab orang muwafik dan dimaafkan ketinggalan 3 rukun daripada imamnya. Manakala menurut Syeikh Ibnu Hajar ia termasuk dalam bab masbuk dan tidak dimaafkan ketinggalan 3 rukun daripada imamnya kerana ia meninggalkan bacaan dengan sengaja, hukumnya jika makmum itu dapat menyempurnakan bacaan al-Fatihahnya dan sempat rukuk sebelum imamnya turun kepada sujud maka ia mendapat rakaat itu, jika tidak hendaklah ia niat mufarakah dan hendaklah ia solat bersendirian dengan mengikut peraturan solat, jika ia menyalahi hukum ini solatnya menjadi batal. Begitu juga hukumnya jika seorang muwafik sedang solat jemaah dengan imamnya, tiba-tiba ia lupa bahawa ia mengikut imam, semasa dalam sujud barulah ia teringat yang ia mengikut imam, sebelum ia sempat qiam daripada sujud didapati imamnya telah atau hampir rukuk. Kata Syeikh Ramli, ia seperti hukum orang muwafik dimana ia wajib habiskan al-Fatihahnya dan dimaafan ketinggalan 3 rukun daripada imamnya. Tetapi kata Syeikh Ibnu Hajar bahawa masalah itu seperti hukum orang masbuk, kalau makmum itu dapat rukuk bersama imam dengan thamaninah [kadar masa thamaninah adalah sekadar masa menyebut lafaz subhanallah] maka ia mendapat rakaat itu, jika ia tidak sempat rukuk bersama imam maka wajib menambahkan satu rakaat lagi selepas salam imamnya.

Makmum masbuk

Maknanya ialah makmum yang tidak sempat berjemaah dalam masa qiam imamnya sekadar masa yang membolehkannya membaca al-Fatihah hingga tamat mengikut pembacaan yang pertengahan dikalangan orang ramai. Umpamanya seorang makmum masuk solat jemaah lewat iaitu ketika imamnya membaca surah al kafirun hampir tamat pada rakaat pertama, makmum itu dinamakan masbuk kerana masa qiam imamnya itu tidak sempat dan tidak membolehkan ia membaca al-Fatihah sehingga selesai. Tetapi sekiranya makmum masuk solat berjemaah solat isyak ketika imamnya hendak melakukan bacaan surah ad-Duha selepas al-Fatihah, makmum itu dinamakan muwafik kerana berdiri imamnya sempat ia membaca
surah al-Fatihah mengikut pembacaan uruf orang ramai. Makmum masbuk dimaafkan meninggalkan bacaan al-Fatihah, kerana al-Fatihah belum dibaca atau sempat dibaca sebahagian sahaja oleh makmum itu semuanya ditanggung oleh imamnya.

Contoh dan gambaran.

  1. Setengah daripada makmum itu pada mulanya adalah makmum muwafik, didalam menunaikan peraturan-peraturan solat ia terlewat, belum sempat ia bangkit qiam tiba-tiba imamnya telah rukuk, hukum makmum itu adalah orang masbuk, jika ia sempat qiam dan terus rukuk sebelum imamnya bangkit dari rukuk maka ia mendapat rakaat itu dimaafkan dia membaca bacaan al-Fatihah.
  2. Didapati imam-imam solat terlalu cepat membaca bacaan di dalam solat, apabila makmum qiam daripada sujudnya didapati imam telah rukuk dan ia tidak sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah, maka hukumnya wajib ke atas makmum itu rukuk bersama-sama imamnya kerana ia seperti orang masbuk dan ia mendapat rakaat itu. Begitulah hukumnya jika hal keadaan seperti ini berlaku setiap rakaat sekalipun, kalau makmum itu meneruskan bacaan al-Fatihahnya sehingga imamnya rukuk dan bangkit dari rukuk sedangkan ia masih menyempurnakan bacaan al-Fatihah atau dia dapat rukuk bersama imam tetapi belum sempat ada thamaninah, imamnya telah bangkit dari rukuk, maka luputlah ia dari rakaat itu dan hendaklah ia melakukan apa yang dibuat oleh imamnya dan selepas salam imamnya, wajib keatasnya tambah satu rakaat lagi. Mengikut apa yang disebut oleh ulama bahawa sunat kepada orang masbuk tidak membaca apa-apa bacaan sunat selepas takbiratulihram tetapi hendaklah ia membaca al-Fatihah sahaja kecuali ia menjangka sempat membaca al-Fatihah dan membaca zikir yang sunat itu barulah boleh membuat demikian.
  3. Seorang masbuk yang berjemaah dengan imam, apabila rukuk imamnya dan makmum yang masbuk belum lagi sempat baca al-Fatihah dimana ia tidak membaca apa-apa kecuali al-Fatihah, hendaklah ia tinggalkan bacaan al-Fatihahnya dan wajib mengikut imamnya rukuk, kerana al-Fatihah yang belum dibaca atau sempat dibaca sebahagian sahaja itu semuanya ditanggung oleh imamnya jika makmum masbuk itu bertabiat lambat bacaannya sekalipun tidak wajib keatasnya membaca lebih dari kemampuan yang ia dapat, berlainan kepada makmum muwafik yang lambat bacaan, ia dikehendaki menghabiskan bacaan al-Fatihahnya dan dimaafkan ketinggalan 3 rukun dari imamnya sebagaimana dalam penerangan yang lepas.
  4. Jika seorang makmum yang masbuk rukuk terkemudian daripada imam sebab ia baca al-Fatihah, hingga bangkit imamnya dari rukuk, maka luputlah rakaat itu dan wajib keatasnya tambah satu rakaat lagi selepas salam imamnya.
  5. Seorang makmum yang masbuk bersolat jemaah sibuk membaca zikir yang sunat tiba-tiba imamnya rukuk sedangkan ia belum baca al-Fatihah, makmum itu wajib keatasnya baca al-Fatihah sekadar hurufhuruf yang di baca dalam zikir sunat itu, dan ia dikehendaki menggunakan ijtihad dalam hal ini.
  6. Jika seorang makmum yang masbuk itu diam tanpa baca al-Fatihah selepas membaca takbiratulihram sehingga imamnya rukuk, wajib keatasnya baca al-Fatihah sekadar masa yang ia diam itu, dan ia dikehendaki menggunakan ijtihad  dalam hal ini. Apabila makmum yang masbuk selesai baca al-Fatihah kerana menggantikan zikir sunat atau diamnya dalam contoh 5 dan 6, kemudian wajib ia rukuk, jika ia dapat rukuk dengan imam sekadar thamaninah dengan yakin sebelum imamnya bangkit dari rukuk makaia dapat rakaat itu. Jika imamnya telah bangkit dari rukuk sedangkan ia baru selesai baca al-Fatihah atau ia sempat rukuk dengan imamnya tetapi tiada thamaninah maka luputlah rakaat itu dan dia dikehendaki tambah 1 rakaat lagi selepas salam imamnya.

Jika imamnya sudah mengangkat kepala dari rukuk dan makmum yang masbuk masih lagi belum sempurna bacaan al-Fatihah wajib keatasnya niat mufarrakah sebagaimana di terangkan oleh syekh ibni hajar dalam kitab manhaj al qawim, diterangkan oleh Syeikh Ibnu Hajar dalam kitab Minhaj al Qawim dan di terangkan oleh Syeikh Ramli dalam kitab an Nihayah. Mengikut pendapat Syeikh Islam pula bahawa makmum yang masih belum sempurna bacaan al-Fatihahnya sedangkan imamnya sudah mengangkat kepala dari rukuk tidak wajib keatasnya niat mufarakah bahkan diberi pilihan antara mufarakah atau tinggalkan rukuk dan terus sujud bersama imamnya.

Dirumikan Oleh Mohd Hafiz Azmi
12 Jan. 2005

wallahua’lam,

apabila memikirkan apa kebaikan walaupun sedikit, elok dikongsikan. Jangan tunggu jadi ulama baru dikongsi.

—————————————————————————————————————-

nota ringkas – boleh rujuk sini

Nota ringkas permasalahan Muafik dan Masbuk:

Ma’mum terbahagi kepada dua jenis/kategori:

  1. Ma’mum muafik
    1. Iaitu mereka yang sempat qiam/berdiri bersama-sama imam (berdiri semasa bacaan fatihah, bukan iktidal)
    2. Tempoh berdiri bersama-sama imam tadi, perlulah sekurang-kurangnya kadar masa bacaan fatihah yang sederhana – tidak terlalu laju dan tidak terlalu perlahan.
    3. Dibenarkan lewat dengan imam sebanyak 3 rukun yang panjang.
    4. Perlu menghabiskan bacaan fatihah.
  2. Ma’mum masbuk
    1. Iaitu mereka yang tak sempat qiam bersama-sama imam pada kadar masa yang cukup untuk seseorang itu untuk membaca fatihah.
    2. Dibenarkan lewat dengan imam sebanyak 3 rukun.
    3. Tidak perlu menghabiskan fatihah, sebab fatihah beliau telah ditanggung oleh imam.

Rukun panjang:

Contoh rukun yang panjang adalah seperti berikut:

  1. Ruku’
  2. Sujud
  3. Duduk tahiyat akhir

I’tidal dan duduk antara dua sujud tidak dikira sebagai rukun yang panjang.

Untuk mendapatkan rakaat bersama-sama imam, ma’mum perlu sekurang-kurangnya ruku’ bersama-sama imam dengan thama’ninah.

Thama’ninah – diam seketika pada kadar masa bacaan ‘subhanallah’. Thamaninah perlu ada pada setiap peralihan rukun fi’li (rukun yang melibatkan perbuatan, bukan bacaan – seperti peralihan qiam kepada ruku’, daripada ruku’ kepada I’tidal dan sebagainya).

Contoh situasi:

  1. Seorang ma’mum datang ke surau dan mendapati imam telah pun ruku’. Beliau terus takbiratul ihram, dan ruku’. Belum pun beliau sampai pada keadaan ruku’, imam pun bangun I’tidal. Maka pada keadaan ini, beliau tidak lagi mendapat rakaat tersebut bersama-sama imam, dan perlu menggantikannya setelah selesai salam imam.
  2. Seorang yang datang untuk berjemaah, dan takbiratulihram. Beliau membaca doa iftitah, dan sejurus sahaja beliau habis doa ifititah, imam pun ruku’. Pada keadaan ini, beliau dikira sebagai ma’mum muafik kerana sempat berdiri bersama-sama imam pada kadar tempoh masa bacaan fatihah. (kerana tempoh bacaan doa ifititah tadi adalah sama/lebih daripada tempoh bacaan fatihah). Dia perlu menghabiskan bacaan fatihah tersebut, kemudian ruku’. Sebab, bacaan fatihahnya tadi tidak ditanggung oleh imam. Beliau diberi masa sebanyak 3 rukun panjang, untuk menghabiskan bacaan fatihah tadi.

Wallahua’lam.

Leave a Reply

%d bloggers like this: