Masuk Islam

Masuk Islam

Memang menyakitkan… Sebab ia soal hati. Sejak sekian lama, kita menerima kasih sayang seorang bapa dengan pengorbanan mereka, dengan kesabaran mereka dalam mendidik kita, zahir dan batin. Bagaimana mampu kita meminggirkan mereka. Tentu sekali, nama mereka diletakkan jauh di sudut hati, dalam sekali…

Apa yang menyakitkan itu?

Yang menyakitkan itu apabila ada orang yang meminggirkan mereka (seorang bapa), membelakangkan mereka.

Itulah antara satu perkara yang diada-adakan di Malaysia bagi mereka yang baru ‘convert’ kepada Islam. Mereka ‘dipaksa’ menukarkan nama kepada nama Islam yang biasa dipakai oleh masyarakat muslim Melayu. Mereka juga ‘dipaksa’ membuang nama ayah dan di ‘bin/binti’ dengan ‘ayah baru’ iaitu Abdullah.

Jika dilihat sebelah mata, ia suatu perkara remeh sahaja. Memang remeh bagi kita yang sudah lama Islam ini, dan ia tidak terjadi kepada kita. Cuba bayangkan perkara yang sama berlaku pada kita?

Begitulah antara isi kandungan kuliah maghrib oleh Brother Shah Kirit di surau Bukit Mulia hari ini. Beliau membawa topik, halangan dan cabaran ketika masuk Islam di Malaysia.

Antaranya ialah, berkenaan nama.

Perkara ini tiada dalam Islam, tiada dalam ajaran Rasulullah. Perkara ini diada-adakan. Dan kesannya besar bagi mereka yang perlukan kekuatan untuk ‘convert’ kepada Islam. Memang kelihatan bagi kita, tapi ini soal hati. Brother Shah menceritakan, berapa ramai yang membatalkan niat mereka kerana terpaksa menukarkan nama. Sedangkan nama-nama asal mereka juga baik, dan diberikan oleh ibubapa yang dikasihi.

Tiada dalam sejarah baginda Rasulullah s.a.w menyuruh mereka yang memeluk Islam menukarkan nama bapa. Apa yang ada dalam sirah (sejarah Rasulullah) ialah, baginda menasihati mereka yang mempunyai nama yang hodoh/jelek supaya menukarkan nama mereka dengan nama yang baik. Jika ia sudah sedia baik, elok, tidak perlu ditukarkan lagi. Tidak perlu dalam bahasa Arab…

Salman al farisi adalah suatu nama bukan berbahasa Arab. Bilal bin Rabah pun bukan nama Arab. Ini adalah contoh mudah.

Boleh masuk Islam waktu pejabat sahaja.

Brother Shah juga menceritakan bagaimana kelemahan-kelemahan yang berlaku di pejabat agama (walau tidak semua tempat). Pejabat agama sepatutnya memberi layanan yang baik kepada mereka yang sudah terbuka hatinya untuk menerima Islam.

Ada sesetengah tempat terlalu ‘lurus bendul’ hinggakan memberi peluang mereka yang ingin ‘convert’ hanya pada waktu pejabat sahaja. Kadang kala, bakal muallaf (yang berminat dengan Islam) terpaksa mengambil cuti rehat untuk ke pejabat agama.

Cuba bayangkan bagaimana kita, pertama kali datang ke pusat kristian, tentu sekali ada rasa gerun (berdebar-debar). Sama halnya dengan mereka, datang dengan hajat yang murni… hendak convert kepada Islam. Mereka perlu dilayan dengan mesra.

Namun, apa yang sering berlaku adalah mereka terpaksa menunggu begitu lama untuk berjumpa dengan pegawai yang bertugas. Ada juga pegawai bertanya, “datang sorang je ke, tak bawak perempuan Melayu?” Seolah-olah semua yang hendak convert disebabkan ingin berkahwin dengan perempuan Melayu sahaja.

Mereka juga perlu membawa gambar passport menutup aurat, dan 2 orang saksi. Jika lupa bawa, disuruh balik dahulu dan datang kemudian. Brother Shah bertanya, bagaimana perempuan tadi mahu pakai tudung semasa mengambil gambar passport, sedangkan pada waktu itu dia masih kafir.

Brother Shah menimbulkan persoalan, apa yang perlu pegawai tadi jawab di hadapan Allah sekiranya mereka yang datang untuk convert terbatal niat murninya itu akibat mereka disusah-susahkan dengan syarat yang diada-adakan. Bagaimana sekiranya mereka mati dahulu sebelum sempat mengucap dua kalimah syahadah? Siapa yang bakal ditanya nanti?

Dalam kuliah tersebut, baru jelas, bagaimana realiti mereka yang ingin convert, dan perkara ini berlaku sendiri pada Brother Shah Kirit lebih 10 tahun yang lepas. Bukan mudah untuk terbuka hati menerima Islam, tetapi hampa apabila berhadapan dengan proses-proses rumit yang diada-adakan ini.

Kemudian, Brother Shah Kirit ada memberitahu, bahawa pada hujung September nanti, Insya Allah Dr Zakir Naik bakal datang ke Malaysia.

Wallahua’lam.

Rumusan Kuliah Maghrib Brother Shah Kirit, 3 Julai 2012.

Leave a Reply

%d bloggers like this: