Hargai Ibubapa

Hargai Ibubapa

Tidak seorang pun yang lahir ke dunia ini melainkan mempunyai ibu dan bapa. Ibubapa amat besar jasanya kepada kita, yang pasti tidak akan terbalas sama sekali.

 

Terdapat banyak ayat-ayat QUR’AN menjelaskan kewajipan seorang anak dalam mentaati dan menghargai ibubapa.

وَوَصَّيۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ بِوَٲلِدَيۡهِ حَمَلَتۡهُ أُمُّهُ ۥ وَهۡنًا عَلَىٰ وَهۡنٍ۬ وَفِصَـٰلُهُ ۥ فِى عَامَيۡنِ أَنِ ٱشۡڪُرۡ لِى وَلِوَٲلِدَيۡكَ إِلَىَّ ٱلۡمَصِيرُ

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan) – (Surah Luqman, ayat 14)

Dalam surah al Isra’, ayat 23, Allah telah berfirman yang bermaksud:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلۡوَٲلِدَيۡنِ إِحۡسَـٰنًا‌ۚ إِمَّا يَبۡلُغَنَّ عِندَكَ ٱلۡڪِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَوۡ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّ۬ وَلَا تَنۡہَرۡهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوۡلاً۬ ڪَرِيمً۬ا

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Uh”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)

Berbakti kepada kedua ibubapa

Rasulullah s.a.w pernah ditanyakan tentang kepada siapa yang utama untuk dibelanjakan harta mereka:

يَسۡـَٔلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ‌ۖ قُلۡ مَآ أَنفَقۡتُم مِّنۡ خَيۡرٍ۬ فَلِلۡوَٲلِدَيۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِينَ وَٱلۡيَتَـٰمَىٰ وَٱلۡمَسَـٰكِينِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ‌ۗ وَمَا تَفۡعَلُواْ مِنۡ خَيۡرٍ۬ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِيمٌ۬

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: “Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya) – (Surah al Baqarah, ayat 215).

Dan Allah berfirman:

وَٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ وَلَا تُشۡرِكُواْ بِهِۦ شَيۡـًٔ۬ا‌ۖ وَبِٱلۡوَٲلِدَيۡنِ إِحۡسَـٰنً۬ا وَبِذِى ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَـٰمَىٰ وَٱلۡمَسَـٰكِينِ وَٱلۡجَارِ ذِى ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡجَارِ ٱلۡجُنُبِ وَٱلصَّاحِبِ بِٱلۡجَنۢبِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتۡ أَيۡمَـٰنُكُمۡ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن ڪَانَ مُخۡتَالاً۬ فَخُورًا

Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri – (Surah an Nisa, ayat 36)

Daripada ayat di atas dalam surah an Nisa, kita dapat simpulkan bahawa berbuat baiklah kepada:

  1. Kedua ibubapa
  2. Kaum kerabat
  3. Anak yatim
  4. Orang-orang miskin
  5. Jiran tetangga yang dekat
  6. Jiran tetangga yang jauh
  7. Rakan sejawat
  8. Musafir yang terlantar
  9. Hamba yang kamu miliki

Begitu sekali disusun mengikut keutamaan agar ia menjadi panduan dan teladan kepada kita semua.

Sekarang baru kita sedar, setelah bergelar seorang ibu atau seorang bapa, kita sedar bagaimana banyaknya pengorbanan yang telah kita lakukan untuk melihat seorang anak membesar dengan gembira dan bahagia. Kita mula sedar bagaimana ibubapa kita juga telah banyak berkorban segala keselesaan hidup demi melihat anaknya berjaya.

Dengan hasrat yang tinggi untuk menjadi ibubapa yang berjaya, amatlah elok untuk kita mencari tip-tip mendidik anak. Subhanallah, segala-galanya dilakukan tanpa mengharapkan balasan daripada anak. Tidak hairanlah bagaimana kita ini, sebagai seorang anak, amat dituntut oleh Allah dalam banyak firman-firman Nya dan melalui lisan Rasulullah s.a.w untuk berjasa, berbakti dan berbuat baik kepada kedua ibubapa.

Setiap anak mempunyai keunikan yang tersendiri. Mempunyai sikap yang berbeza-beza. Ada yang amat penyayang dan ada juga yang sukar didampingi.

Jadi insya Allah, mari kita sama-sama mengambil peluang untuk menghargai ibubapa kita selagi mana mereka masih ada.

Leave a Reply

%d bloggers like this: